Tuesday, April 21, 2009

PISANG DAN HATI

Maryam, guru kelas
Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

"Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Mayam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Maryam.

Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik daripada membenci.

Moralnya, jangan letak pisang dalam beg.
Jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati.. Macam pisang yg makin membusuk, begitu juga hati.

Taken from: Hidayahnet

Friday, April 17, 2009

Tembok Batu Kembali...

Sambungan dari post yang lepas.

Kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Kini pemuda tersebut telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki yang telah remaja dan mewarisi sifat pemarah yang lebih teruk dari bapanya. Semakin hari sifat pemarah si anak semakin menjadi-jadi. Si bapa mendapat satu idea dan setelah memilih hari yang paling sesuai, dia mengajak anaknya balik ke kampung tempat dia dibesarkan dahulu.

Dalam perjalanan yang sememangnya dirancang oleh si bapa, tiada ahli keluarga lain yang turut bersama mereka berdua. Si bapa memulakan bicaranya, "anakku sifat marah itu berasal daripada syaitan, kerana syaitan itu dijadikan daripada api". "Ya bapa, saya cukup jelas dengan semua itu, ustazah di sekolah pun selalu mengingatkan kami tentang sifat marah dan cara mengawalnya. Tapi, bila marah tu datang, saya dah tak ingat apa-apa dah. Hati saya sakit sangat, saya cuma rasa nak lepaskan apa yang saya rasa supaya hati saya boleh tenang kembali." kata si anak dengan panjang lebar bagi menegaskan pendiriannya. "Benarkah kamu boleh jadi tenang selepas marah? berapa lama ketenangan itu akan bertahan? Ehmmm mungkin kamu tidak mengerti betapa dahsyatnya kesan amarah ini, mari bapa ceritakan satu kisah pada kamu" kata si bapa setelah mendapati nasihatnya sukar untuk asimilasikan oleh si anak. Si bapa menceritakan kisah "terlajak kata... kena paku" tanpa diketahui oleh si anak yang pemuda dalam kisah tersebut adalah bapanya sendiri.

Ketika si anak termenunng menghadamkan kisah yang didengarnya sebentar tadi, mereka pun sampai ke destinasi yang di tuju. Mata si anak terus terpaku pada tembok batu yang terletak di hadapan rumah datuknya itu. Selama ini tak pernah pun dia ambil peduli keadaan tembok batu tersebut, tapi hari ini hatinya seolah-olah terpanggil untuk mendekati dan meneliti tembok batu itu dengan lebih dekat. " Tembok ini dahulunya sangat cantik dan sempurna, 20 tahun yang lepas, kemarahan telah menjadikan tembok ini cacat sehingga ke hari ini". Tersentak si anak daripada lamunannya apabila termendegar suara bapanya yang tiba-tiba muncul di belakangnya" Mengapa tidak ditukarkan saja dengan yang baru?, sedangkan datuk mempunyai harta yang banyak, kalau sekadar menggantikan tembok ini dengan yang lebih canggih dengan fesyen terkini, takkan menjadi masaalah buat datuk, kan bapa?". Si anak yang masih tidak memahami maksud maksud tersirat kata-kata bapanya itu bertanya bertubi - tubi.

"Anakku..." si bapa berkata dengan tenang sambil senyum dan merenung ke dalam mata anaknya itu. " Tembok ini umpama hati - hati orang yang telah bapa sakiti ketika marah, dengan hanya menggunakan duit, tembok ini boleh digantikan dengan yang 1000x lebih cantik. Tapi anakku... bolehkah kita menggantikan hati manusia yang kita sakiti itu dengan hati yang baru?. Hati yang luka boleh di ubati, tapi parutnya akan kekal abadi. Hati kalau ingin diganti badannya bukanlah orang yang sama lagi. Sanggupkah kita berpisah dengan orang yang kita sayangi semata-mata untuk mendapat kepuasan selepas marah? benarkah kita akan puas selepas melepaskan kemarahan?atau ianya akan memusnahkan lagi kehidupan kita? Lihatlah tekad datuk kamu yang masih mengekalkan tembok batu yang dibinanya bersama moyang kamu ini. Walaupun buruk, walaupun pecah, tembok batu yang 1000x lebih cantik dari tembok ini takkan dapat menggantikan nilai kenangan ketika dia dan bapanya sama-sama mengalirkan peluh menyiapkannya".

Kadangkala kemarahan menyebabkan kita melukai hati orang yang kita sayangi. Ketika marah sifat sayang ditolak jauh ke tepi, kerana benci menguasai diri. Apabila hati telah terluka, perasaan marah pun beransur reda, adakah kita masih orang yang sama?

Kita marah kerana hati kita terluka, kalau marah dilepaskan, satu lagi hati akan terluka, gagal mengawal kelukaan, kita akan marah, yang bila dilepaskan, satu lagi hati terluka. Berapakah bilangan hati yang perlu terluka sebelum kemarahan reda sepenuhnya?

Marah lebih baik daripada dendam? Adakah marah kerana dendam atau dendam kerana marah? Marah kerana terkilan atau terkilan kerana marah? Adakah marah akan menghilangkan dendam? atau dendam akan tetap dendam walaupun marah!

P/S: Marah itu daripada api, haruskah aku simbah orang yang tengah marah dengan sebaldi air? atau campak dia masuk kedalam kolam mandi supaya padam api amarahnya itu.
Ish ish ish, aku pun kopius nih! Kalau aku dah termarah, ape yang boleh aku buat? hhmmm

Thursday, April 16, 2009

Terlajak Kata... Kena Paku

Seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku. "Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut. "Setiap kali kamu marah, kamu pakulah pada tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya.

Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun.

Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.

Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok batu tersebut dan berkata "Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok batu itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kisah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal.

Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan parut di dinding hati anda… I’m really sorry… Please forgive me if I do/did...